UJIAN ATAU RAHMAT?


Apabila berkata tentang ujian dan cabaran sudah pasti orang kebiasaannya akan kaitkan dengan masalah dan beban. Sedang dia lupa bahawa ujian tersebut datang dari Allah. Adakah Allah sengaja menguji hambaNya untuk menyusahkannya? Atau adakah ia datang sebagai rahmat dan hikmah kepadanya? 

 

Hal ini bergantung kepada cara fikir kita terhadap perkara yang akan kita hadapi. Apabila seseorang itu kuat untuk menghadapi ujian maka kita kategorikan orang ini sebagai orang yang sabar. Manakala jika sebaliknya dia dikategorikan sebagai orang yang lemah. Maka adakah betul cara fikir seperti ini? Tiadakah cara fikir yang lebih baik?

 


Sebenarnya di dalam Islam (sebagai orang yang ada pegangan agama) sudah pasti apabila kita menghadapi ujian dan cabaran dalam hidup, mesti kembali kepada Pencipta kita. Hal ini kerana Tuhan kita rindu tangisan dan rintihan kita sebagai hamba kepadaNya sebagai Pencipta. Kita hidup di dunia ini penuh dengan tipu daya berbentuk wantia, takhta dan harta sehingga kita jauh dari Pencipta tanpa kita sedari atau dalam sedar (tepuk dada tanya iman kita). 

 

Ada orang merasa ujian yang diberi sebagai masalah pada dia dan ada pula yang merasa ia sebagai satu bentuk kekuatan baharu yang Allah hendak beri kepadanya. Dua bentuk perbezaan pemikiran ini akan membantu untuk membentuk peribadi dalam diri seseorang. Yang mana orang yang menganggap ujian sebagai masalah akan melemahkan diri sendiri dan sebaliknya jika dengan ujian membuat seseorang lebih aktif, positif dan optimis akan membantunya untuk lebih kuat dan mencari penyelesaian bagi bebanan hidupnya. 


Tiada istilah putus asa bagi orang yang kuat semangat dan motivasi dalam dirinya. Di dalam Islam pun kita di sarankan untuk mengutip kata-kata motivasi dari dua sumber utama iaitu Al Quran dan Hadis Baginda Nabi Muhammad SAW. Begitu juga kata-kata semangat yang pernah diungkap oleh para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda Nabi yang setia termasuklah para 'alim 'ulama yang telah pergi atau yang masih ada. Perkara ini pernah saya praktikkan secara langsung di bumi Mesir satu ketika dahulu. Saat hati rasa kosong dan jiwa tidak tenteram saya akan mencari kelas-kelas agama yang dianjurkan oleh para masyaeikh dan juga majlis-majlis selawat khusus untuk menghadirkan kesedaran yang mendalam terhadap asal kejadian dan kehidupan ini. Dan hasilnya memang menakjubkan kerana pulang dengan hati yang tenang dan semangat baru. 

 

Bagaimana pula untuk menaikkan motivasi diri dalam keadaan bumi Malaysia yang agak asing dengan majlis selawat? Banyak perkara boleh dilakukan antara berdampingan dengan sahabat yang baik dan selalu memberi kata-kata motivasi, banyakkan membaca buku motivasi, berzikir dan berselawat, solat sunat dan sebagainya. Selain itu, kita perlu cuba mengubah cara fikir dari seorang yang berfikiran negatif menjadi seorang yang positif dan matang dalam mencari penyelesaian masalah. 

 


Kesimpulannya, kita hendaklah menjadi orang yang bersyukur di atasa ujian kerana itu sebagai tanda ingat Allah kepada hambanya yang pelupa dan selalu jauh dariNya. Dan di saat kita tidak diuji maka berhati-hati lah dan cepat-cepat kembali ingat kepada Allah walau dalam apa perkara sekalipun. 

 

Ingat ya! Aktif! Positif! Optimis! Semoga berjaya. 

Komentar

Postingan populer dari blog ini

MULTIVITAMIN SHAKLEE BERWAJAH BARU

PETUA HILANGKAN JERAGAT