DOA YANG BAGUS UNTUK WANITA
Doa merupakan senjata terpenting bagi seseorang Islam. Ia juga mengukur hubungan antara Tuhan dan hambanya dalam keakraban dan penyerahan. Sebagai muslim, kita mesti menjaga hubungan kehambaan ini kerana Allah murka kepada hambaNya yang tidak pernah meminta kepadanya. Ini menunjukkan bahawa Allah bersifat Kasih dan Sayang terhadap hambaNya. Di sini, saya ingin kongsikan beberapa doa yang boleh dijadikan amalan dan bacaan harian khusus untuk wanita di luar sana.
Sebenarnya setiap doa harian yang kita biasa dengar seperti doa bangun tidur dan sebelum tidur juga baik untuk diamalkan sebelum tidur dan sesudah bangun darinya. Ini menunjukkan kita rasa kesyukuran kita sebagai hamba Allah dan penyerahan kita kepadaNya dalam menentukan hal yang terbaik dalam setiap urusan kita sepanjang hari tersebut. Doa bangun tidur :
اَللهُمَّ بِسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتْ
Dan doa bangun dari tidur:
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورْ
Sebagai hambaNya, kita mesti bersyukur dan bersabar dalam setiap urusan iatu bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan bersabar dengan ujian dan cabaran yang didatangkan dalam hidup ini. Selain itu, doa yang boleh diamalkan setiap kali selepas solat ialah doa meminta perlindungan dari 7 perkara. Doanya:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Doa ini mengajar kita untuk meminta perlindungan kepada Allah serangkumi keseluruhan hidup kita antaranya meminta perlindungan dari sikap buruk iaitumarah dan sedih yang berpanjangan, menjadi lemah dan bersikap malas, bersikap pengecut serta bakhil atau kedekut yang berlebihan, serta terperangkap di dalam belenggu hutang dan penguasaan manusia. Jika dilihat dari intipati doa ini, sangat sesuai untuk diamalkan setiap hari supaya dilindungi oleh Allah sentiasa.
Di samping itu, doa yang bagus diamalkan oleh wanita ialah doa meminta dan memohon dijaga dan dipelihara iman dan tauhid kita daripada sering dibisik dan ditipu daya oleh syaitan dan iblis. Doanya ialah :
اللهُمَّ إِنِّي أَسْئَلُكَ بِأَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ الله لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ
Doa ini mengajar kita untuk tetap bertauhid kepada Allah dan hanya kepadaNya kita meminta hajat. Akhir sekali, satu doa lain yang ingin saya kongsikan dan ia adalah kebiasaan dibaca sebelum menutup doa selepas solat iaitu doa memohon agar hidup diakhiri dalm kebaikan dan dimatikan dalam keadaan yang elok serta tempat yang baik. Doanya ialah :
اللهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةْ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الْخَاتِمَةْ
Doa ini sebagai pengharapan kita kepada Allah untuk ditakdirkan dengan pengakhiran hidup yang baik. Pengakhiran ini seperti meninggal di tempat yang baik, dipermudahkan sakaratul maut dan dalam keadaan sempat bertaubat.
Kesimpulan, banyak doa yang boleh diamalkan selain daripada doa khusus seperti yang dikongsikan di atas. Hakikatnya, setiap detik hati juga sepatutnya dipastikan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk diri sendiri dan orang sekeliling kita. Dan jangan dilupakan, doa ibubapa adalah yang paling mustajab. Jadi, manfaatkan doa mereka sebaiknya selama mana mereka masih hidup di dunia.
Komentar
Posting Komentar